Pendahuluan.
Barah payudara adalah jenis barah yang paling utama bagi wanita. Ianya lebih kerap berlaku pada masyarakat barat dan jarang sedikit bagi masyarakat timur (contohnya di Jepun, kekerapannya amat rendah). Barah ini amat jarang berlaku dibawah umur 25 tahun. Kekerapannya bermula setelah umur mencecah 40-50 tahun dan peratusan seterusnya akan meningkat dengan peningkatan umur..
Punca penyakit.
Seperti biasa punca kanser sukar ditentukan. Wanita yang terdedah kepada pancara radiasi seperti di Hiroshima dan Nagasaki mempunyai lebih kecenderungan untuk mendapatnya. Walau bagaimanapun terdapat faktor-faktor lain yang dikenalpasti boleh meninggikan risikonya:-
Terdapat ahli keluarga yang mengalaminya (ibu, kakak)
Peningkatan umur bermula dari pertengahan 40an.
Baligh pada usia awal dan putus haid pada usia lewat.
Lambat mengandung dan tidak menyusukan anak (breast feeding).
80% adalah dari jenis Adenocarcinoma, iaitu berasal dari kulit permukaan kelenjar susu (glandular epithelium) ataupun kulit permukaan salur halus susu (mammary duct epithelium).
Tanda-tanda (symptoms & signs).
Daripada bermulanya kanser tumbuh - beberapa micrometer (tidak dapat dirasai) sehingga kepada sais yang boleh dikesan dengan pemeriksaan tangan (1 cm diameter) boleh mengambil masa sehingga 5 tahun. 50% daripada kes-kes terjadi pada bahagian suku-atas-kanan bagi payudara kanan dan suku-atas-kiri bagi payudara kiri.
Sel kanser ini boleh merebak ke organ-organ lain terutamanya paru-paru (65%), hati (50%) dan tulang (50%). Tanda-tanda yang kelihatan pada payudara adalah :-
Terasa ketulan pejal (dengan tangan). Perlu dingatkan bahawa tidak semua ketulan adalah barah. Sebahagian besarnya adalah jenis yang tidak merbahaya dan boleh dibuang.
Lekokan kedalam pada kulit.
Puting susu tenggelam
Puting mengeluarkan cecair terutamanya jika berdarah dan datangnya dari sebelah payudara sahaja.
Payudara membengkak (oedema) dan kelihatan berbintik-bintik seperti kulit oren (peau d'orange)Tanda-tanda lain:-
Ketulan-ketulan pejal pada bawah ketiak dan leher.
Hati membesar (hepatomegaly)
Sakit didalam tulang, tulang belakang, sakit kuning, mudah kelelahan ketika membuat kerja ringan, keletihan dan kehilangan berat (kesemuanya menunjukkan kanser sudah merebak ke organ lain)
Pengkelasan barah payudara.
Terdapat jenis pengkelasan yang dinamakan TNM classification yang digunakan untuk menunjukkan sejauh mana barah sudah terbentuk Tetapi untuk memudahkan perbincangan pengkelasan I-IV digunakan dihalaman ini
Stage
Penerangan
I
Barah hanya di payudara
II
Terdapat ketulan pejal pada ketiak atau dada tetapi ianya kecil dan boleh digerakkan
III
Barah merebak sekitar payudara
IV
Barah merebak (metastases) ke tulang, paru-paru dan hati
Rawatan.
Rawatan benar-benar bergantung kepada keadaan barah:-
Stage I dan barah kecil, ianya boleh dibuang secara pembedahan (lumpectomy). Masalahnya ialah 40% akan tumbuh semula beberapa tahun kemudiannya. Jikalau saiznya besar pembedahan pembuangan payudara mungkin dilakukan (mastectomy). Masalah yang timbul adalah masalah psikologi kerana payudara adalah amat penting bagi diri wanita. Terdapat cara yang hanya membuang tisu dalam payudara tetapi payudara masih dikekalkan. Tisu selebihnya akan dipancarkan radiasi (radiotherapy) untuk membunuh sel barah yang mungkin ada. Cara ini amat baik dari segi psikologi pesakit dan hasilnya sama baik seperti pembedahan pembuangan payudara.
Stage II dan III - pilihannya adalah gabungan pembedahan dan radiasi atau radiasi secara radical dan melibatkan kawasan yang luas termasuk ketiak dan leher atau pembedahan secara radikal dan membuang payudara termasuk tisu-tisu yang berhampirannya.
Stage IV - barah sudah merebak ke banyak tempat. Tujuan rawatan adalah untuk mengelakkan barah cepat merebak. Rawatannya termasuklah radiotherapy, pembedahan pembuangan, penggunakan ubat hormon (contohnya tamoxifen), dan chemotherapy (ubat pembunuh sel kanser - yang boleh juga membunuh sel-sel lain).
Ramalan
Bagi stage IV ramalannya adalah tidak baik. Bagi stage I dan II, 70% akan mendapat barah semula. Tetapi jangkawaktu untuk mendapatkannya semula adalah lama - boleh mencapai sehingga 20-30 tahun, jadi ini boleh dianggap seperti 'sembuh'. (anggapkan pesakit berumur 45 tahun, setelah rawatan pesakit pulih beberapa lama dan barah yang kedua adalah ketika umurnya 65-75 tahun!! sedangkan purata hayat rakyat Malaysia adalah sekitar 70 tahun).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


No comments:
Post a Comment